Feb 5, 2010

Menangani Keguguran Berulang

KEGUGURAN adalah satu kelahiran janin sebelum 20 minggu. Kebanyakan keguguran berlaku pada atau sebelum tiga bulan mengandung. “Apabila seseorang wanita mengalami keguguran berturutan untuk dua atau lebih, maka istilah keguguran berulangkali digunakan.
“Ujian-ujian tertentu perlu dibuat untuk mencari punca keguguran tersebut,” kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr. Shah Reza Johan Noor.
Menurutnya, walaupun wanita menghadapi masalah keguguran berulangkali, peluang untuk mengandung dan berjaya masih ada. Banyak sebab yang dikaitkan dengan keguguran, hanya satu perempat dari kes-kes, sebab mengapa tidak dijumpai.

Diagnosis
Dr. Shah Reza berkata, sejarah perubatan, perbidanan serta sakit puan akan dikenal pasti.
“Pemeriksaan fizikal termasuk pemeriksaan pelvik akan dibuat untuk mencari punca keabnormalan. “Mungkin juga puan ditawarkan untuk menerima kaunseling genetik,” jelas beliau.Ujian-ujian lain yang mungkin dibuat termasuklah:

* Ujian darah untuk mencari keabnormalan sistem hormon dan juga sistem keimunan
* Bergantung pada kemudahan, ujian genetik mungkin ditawarkan kepada suami dan juga isteri
* Ujian untuk menentukan infeksi organ rahim.

Tatacara penyiasatan lain juga mungkin diajukan seperti:

* Histerosalfingografi; Satu penyiasatan sinar-X pada organ rahim dan juga tiub-tiub fallopio. Sejenis pencelup akan digunakan untuk mencapai kepastian tersebut
* Histeroskopi; Satu alat optik yang kecil yang dimasukkan ke faraj dan pangkal rahim untuk melihat persekitaran dalaman rahim
* Ultrasound; Ujian ultra bunyi yang digunakan untuk melihat bahagian serta organ reproduksi
* Sonohisterogram; Pengimejan ultrasound yang ditingkatkan lagi dengan kemasukan cecair salina ke dalam rahim, membuatkan imej dalaman menjadi lebih nyata.

“Kehilangan kandungan tidak kira usia kandungannya, boleh membuatkan seseorang wanita itu menjadi sangat sedih. “Motivasi reproduksi mungkin terbantut dan mereka mungkin berasa bimbang kejadian yang sama akan berulang kembali,” ujar Dr. Shah Reza. Kepiluan emosi, katanya, mungkin mengambil masa untuk pulih jika dibandingkan dengan kesihatan fizikal.
Beliau menambah: “Justeru, suami harus memahami keadaan sebegini dan sama-sama mengimbangi gangguan emosi serta bergerak positif ke hadapan dari segi keupayaan reproduksi serta mental. “Berjumpalah dengan doktor, jururawat atau mana-mana individu yang boleh mengubah tingkah laku daya serta memberi sokongan pada puan. “Untuk masa hadapan terdekat, rancanglah bila hendak mengandung, supaya penyakit puan dapat dioptimumkan rawatannya manakala pemeriksaan kandungan dapat dilakukan seawal-awalnya.”
Berikut adalah saranan Dr. Shah Reza kepada wanita yang ingin bergelar ibu:

* Lakukan pemeriksaan perubatan sebelum bercadang untuk mengandung
* Berjumpa doktor seawal-awal mengandung supaya penelitian dapat diteruskan
* Ikutilah arahan doktor yang merawat anda
* Amalkan gaya hidup sihat, makan makanan yang berkhasiat, beriadah, tidak mengambil minuman beralkohol, berhenti merokok dan tidak menggunakan ubat-ubatan yang bukan dipreskripsi oleh doktor.

Mengapa keguguran berlaku

Sebab yang pasti:
Masalah dengan kromosom.
Kebanyakan keguguran di bawah 13 minggu, berkait rapat dengan keabnormalan kromosom.
Kromosom adalah struktur dalaman sel. Setiap kromosom mempunyai gen-gen yang membawa ciri-ciri serta sifat-sifat seperti warna rambut, keadaan fizikal, jantina, dan sebagainya.
Permasalahan berlaku mungkin kerana bilangan serta struktur kromosom yang abnormal, mungkin juga dari keganjilan gen-gen yang dibawa. Kebanyakan permasalahan ini berlaku secara spontan dan tidak ada kaitan baik dengan ibu mahupun bapa.
Terdapat ujian-ujian genetik tertentu untuk mencari punca kenapa ia terjadi.

Masalah dengan rahim
Yang biasa terdapat adalah seperti:
* Kecacatan rahim itu sendiri, seperti rahim yang terbelah dua oleh satu dinding – septate uterus.
* Ketumbuhan benigna di dalam rahim seperti fibroid
* Pangkal rahim yang tidak dapat menahan isi kandungan rahim, membuka terlalu cepat dan awal, dengan tiada tanda-tanda awal bersalin.

Masalah perubatan
Masalah perubatan yang dinyatakan berikutnya mempunyai kaitan rapat dengan keguguran,
* Gangguan autoimun dan lupus
* Masalah dengan jantung
* Penyakit buah pinggang yang teruk, terutamanya apabila dikaitkan dengan hipertensi.
* Kencing manis
* Penyakit tiroid
* Infeksi rahim
* Sindrom ovari polisistik

Mengoptimumkan rawatan akan menambah baik kebarangkalian untuk mengandung.
Sindrom antifosfolipid juga dikaitkan dengan keguguran. Sindrom ini melibatkan keabnormalan sistem imun badan. Mereka yang bersindromik akan mengalami gejala pembekuan darah serta keguguran yang berulang kali. Ada ujian yang dilakukan untuk mendiagnosis keadaan ini.

Sebab yang berkemungkinan:
Ketidakseimbangan hormon badan
Hormon progesteron bertanggungjawab menyediakan dalam rahim untuk menerima hasil persenyawaan – berlaku pada dua minggu sebelum datang haid yang berikutnya.
Sekiranya paras progesteron pada awal mengandung rendah, keguguran mungkin berlaku. Kekurangan ini boleh dirawat.
Gangguan/ketidaktertiban sistem darah
Trombofilia adalah satu keadaan di mana agen pembekuan darah dihasilkan melebihi keperluan. Banyak gangguan genetik yang boleh membawa mudarat sedemikian.
Mutasi Faktor V Leiden boleh menyebabkan gangguan pembekuan berlebihan di plasenta dan kemudiannya akan berakhir dengan keguguran. Mereka yang berpenyakit sedemikian akan diberi ubat pencair darah.

Kredit kepada Utusan Malaysia (Arkib 9 Julai 2006)

Note: Saya cuba mencari sumber-sumber yg dapat membantu diri sendiri dan those who read my blog dan ada masalah yg sama. I am not the expert and all sources are from the internet. If facts ada yg tak betul, maybe you could inform me and I'll try to find the correct one.Thank you.

1 comment:

Shasha said...

kak ina, kalu di lihat dr segi saintifiknya sama seperti ape yg kak ina huraikan di atas. kak ina jgn risau sbb berkemungkinan kak ina boleh mengandung lg tu tinggi..sbb kakak pernah gugur time 8 bln. akhirnya,boleh mengandung. kakak ipar pun pernah 2 kali gugur..pun masih boleh mengandung. InsyaAllah, ada rezeki kak ina tu...